BAU, 17 Ogos: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM55 juta untuk membina jalan baharu yang menghubungkan Kampung Suba Buan menuju ke Pekan Bau.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan itu termasuk projek pembinaan jalan raya baharu sepanjang 3 kilometer (km) serta sebuah jambatan baharu yang dianggarkan bernilai RM12 juta.
Beliau meyakini kesemua projek terbabit akan memberi manfaat dalam jangka panjang kepada penduduk kampung berkenaan, termasuk menambah bilangan murid di Sekolah Kebangsaan Suba Buan di Bau yang kini hanya sejumlah 65 orang murid.
“Ia sepatutnya menarik lebih ramai murid dari kampung berdekatan serta Bau kerana tidak jauh (dari Bau). Hanya 3km.
“Apa yang kita akan lakukan adalah membina sebuah jalan baharu untuk sekolah dan perumahan kampung itu,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Majlis Perasmian Bangunan Baharu SK Suba Buan di Bau, hari ini.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata melalui jalan itu, ia turut berpontensi untuk membuka kawasan baharu serta membangunkan perumahan baharu bagi memindahkan penduduk kampung berkenaan yang berdepan dengan bencana mudah banjir.
“Jadi kita boleh buka kawasan untuk membangunkan kawasan perumahan delta supaya orang kampung boleh berpindah. Mereka tidak perlu tinggal di kampung mudah banjir, (dan) kawasannya yang rendah.
Kita perlu ada kemudahan untuk memindahkan mereka ke kawasan lebih tinggi dan untuk itu saya berpendapat kita bangunkan jalan,” jelas beliau.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Pengangkutan II (Sungai dan Laut) yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep, dan Ahli Parlimen Puncak Borneo.
SK Suba Buan terletak di jalan raya penghubung antara Kampung Suba Buan dan Kampung Suba Bau dan pembinaannya telah memakan kol RM24.65 juta.
Ia merangkumi 18 bilik darjah dan dilengkapi dengan 26 bilik khas seperti bilik mesyuarat utama, pusat sumber sekolah, bilik seni dan bilik RBT, bilik pengurusan sukan, bilik rawatan pergigian dan bilik kelas pendidikan khas.
Ia juga mempunyai bilik sains dan makmal komputer serta surau dan lain-lain. – TVS