KUCHING, 17 Ogos: Seramai 5,243 warga Sarawak terutama di kawasan pedalaman negeri ini kini mampu menarik nafas lega dengan intervensi Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta kerajaan Sarawak dalam mendepani isu penduduk tanpa dokumen pengenalan diri.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pasukan khas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu akan menyegerakan proses permohonan dokumen pengenalan diri daripada 7,769 warga Sarawak.
“Kami telah berbincang mengenai perkara yang melibatkan penugasan dan kemajuan yang dicapai oleh Pasukan Petugas Khas Menangani Isu Penduduk Sarawak Tanpa Pengenalan Diri dan ini termasuklah memproses 13,012 permohonan daripada individu yang tidak mempunyai sijil kelahiran dan kad pengenalan diri.
“Setakat ini, kami telah mengeluarkan dokumen pengenalan diri kepada 5,243 individu, manakala permohonan yang lainnya masih lagi dalam peringkat pemprosesan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan di sini, hari ini.
Tambah Saifuddin, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan pasukan petugas khas tersebut.
Ini adalah untuk membantu lebih ramai warga Sarawak terutama di kawasan pedalaman untuk mendapatkan pengenalan diri.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah. – TVS