KUCHING, 17 Ogos: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia membantu mangsa buli siber untuk mendapatkan khidmat kaunseling.
Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya mempunyai lembaga kaunselor dan juga kaunselor di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tujuan itu.
Menurutnya, pihaknya memandang serius berhubung isu tersebut kerana isu buli siber melibatkan segenap lapisan masyarakat.
“Saya seringkali menerima kes-kes seperti ini dan saya akan agihkan kepada staff-staff yang berkaitan supaya menanganinya secepat mungkin supaya ia tidak menjadi lebih teruk.
“Kita tidak mahu ia menjadi kes yang menyusahkan lagi mangsa-mangsa buli tersebut dan janganlah kita menjadi mangsa dan gunalah saluran yang betul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Rangkaian Kasih Nancy Shukri di Auditorium Institut Kemahiran Mara (IKM), Kuching pada Sabtu.
Tambah Nancy, kesedaran isu buli siber dalam kalangan orang ramai perlu ditingkatkan dari pelbagai aspek agar ia tidak menjadi satu tradisi.
“Kami memang ada juga talian hayat 15999 yang begitu popular sekali untuk mendapatkan perkhidmatan daripada kaunselor atau JKM kalau diperlukan,” ujarnya. -TVS