MIRI, 16 Ogos: Pasukan Sofbol Wanita Sarawak bertekad untuk bangkit dari kekalahan pada aksi pusingan pertama (7 innings) dengan meneruskan perlawanan menentang Sabah, hari ini.
Pemainnya Rabiatul Adawiah Hamnan mengakui tidak berpuas hati dengan prestasinya pada hari pertama perlawanan.
“Permainan saya hari ini agak kurang memuaskan. Tapi tidak mengapa, masih ada masa untuk saya melakukan yang terbaik dan untuk mendapatkan mata untuk pasukan kami,” katanya ketika ditemui TVS di sini, semalam.
Senada dengan Rabiatul adalah rakan sepasukannya, Asmaa Mahirah Mohamad Seliman berasa sedikit gementar untuk bermain pada perlawanan pusingan pertama hari ini.
“Kami dah berlatih berbulan-bulan sepatutnya kami menunjukkan aksi yang terbaik. Kami akan melakukan yang terbaik untuk lawan Sabah,” ujarnya.
Sementara itu, ketua jurulatihnya, Ishak Abdullah berkata beberapa perkara perlu dipertingkatkan seperti bahagian pertahanan, pukulan dan mental pemain.
“Batting perlu diperbaiki lagi, kena perbaiki lagi dalam serangan dan ketahanan mental atlet kena perbaiki juga.
“Sudah tentu pitcher kami perlu mengekalkan kawalan yang baik terhadap keadaan dan kemudian dari aspek pemain pertahanan,” katanya.
Pasukan perempuan tuan rumah memulakan langkah kiri ketika berdepan Negeri Sembilan dalam pusingan pertama (7 innings) kumpulan D pada Khamis dengan skor akhir 3-14.
Lapan perlawanan (lelaki dan wanita) diadakan pada semalam (Sarawak vs Johor), (Perak vs Pahang), (Perak vs Kuala Lumpur), (Sabah vs Pahang), (Terengganu vs Selangor), (Sabah vs Negeri Sembilan), (Johor vs Selangor), (Negeri Sembilan vs Sarawak). – TVS