SIBU, 16 Ogos: Skuad bola tampar dewan lelaki Sabah mengimpikan peluang untuk menempatkan diri ke separuh akhir pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024
Ketua jurulatih pasukan itu, Rokei Rudin berkata meskipun tempoh latihan yang agak singkat dan menurunkan pemain-pemain baharu, beliau optimis peluang untuk mara ke peringkat seterusnya dapat disambar anak-anak buahnya.
“Kita pun maklum pasukan yang bertanding kali ini semuanya hebat-hebat belaka.
“Kalau ada peluang yang baik, insya-Allah Sabah akan masuk ke separuh akhir, doakan yang terbaik,” katanya ketika ditemui TVS di Stadium Tertutup Bola Tampar Rejang Park di sini hari ini.
Beliau mendedahkan pasukannya memulakan persiapan sejak Februari sehingga kini, hanya lebih kurang enam bulan.
Sabah juga menurunkan 13 pemain baharu dan hanya mengekalkan seorang pemain yang beraksi dalam SUKMA edisi lalu.
Tidak mahu meletakkan harapan tinggi bagi perlawanan pembukaan, Rokei hanya mengharapkan pasukan kendaliannya memberikan yang terbaik.
“Terengganu pun satu pasukan yang hebat, siapa rezeki dia baik insya-Allah dia akan menang. Harap-harap Sabah beraksi yang terbaik esok,” ujarnya.
Sabah dijangka bertemu Terengganu dalam perlawanan pembukaan bola tampar dewan lelaki esok yang bertempat di Stadium Tertutup Bola Tampar Rejang Park Sibu. – TVS