KUCHING, 16 Ogos: Pasangan Nur Hazirah Ramli dan Lavinia Jia Jie menepati ramalan apabila berjaya menyumbang pingat emas kepada Sarawak menerusi acara tenpin boling wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang berlangsung di Megalanes Batu Kawa, di sini, malam ini.
Pasangan tersebut menjuarai acara berkenaan selepas mengumpul mata keseluruhan dengan 2,392 jatuhan pin.

Menurut Hazirah, walaupun gementar kerana mengakui ada melakukan kesilapan pada permulaan permainan, tetapi beliau dan Lavinia berjaya mengejar semula momentum permainan.
“Kami berjaya mengejar semula pungutan mata di dua permainan terakhir dan sentiasa berdoa supaya kami boleh mengekalkan kedudukan pertama.
“Lorong boling hari ini sangat mencabar, tetapi kami tetap memberikan yang terbaik dan akhirnya berjaya memenangi pingat emas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyampaian pingat yang disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Terdahulu, Hazirah menyumbang pingat emas kepada Sarawak dalam acara perseorangan wanita pada Khamis.
Beliau juga akan beraksi sekali lagi dalam kategori berpasukan wanita pada Sabtu.
Bagi Lavinia, beliau sangat berpuas hati dengan prestasi yang ditonjolkan dalam acara tersebut.
“Saya ingin berterima kasih kepada jurulatih dan rakan sepasukan kerana sentiasa mendorong saya ketika saya menghadapi kesukaran. Sangat berterima kasih kepada mereka,” ujarnya.
Pingat perak dimenangi kontinjen Selangor dengan 2,271 jatuhan pin dan kontinjen Johor memenangi pingat gangsa dengan 2,183 jatuhan pin.
Manakala bagi kategori beregu lelaki, kontinjen Perak berjaya menyumbang emas menerusi gandingan pasangan Mohamad Faris Zainal Abidin dan Syed Adrees Darwiz Syed Zunizam dengan keseluruhan mata iaitu 2,479 jatuhan pin.
Pingat perak pula dimenangi kontinjen Melaka dengan kumpulan mata 2,459 jatuhan pin dan kontinjen Pulau Pinang memenangi pingat gangsa dengan mata 2,389 jatuhan pin. – TVS