SRI AMAN, 16 Ogos: Dua atlet Sarawak yang menempa nama Sarawak pada Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2024 baru-baru ini iaitu Wan Dhia Danish Wan Muhammad Reza dan Patricia Jacquilina Bruce mahu mengulangi kegemilangan untuk merangkul pingat emas untuk SUKMA Sarawak 2024.
Dhia, 20, dari Sibu itu yang akan bertanding kategori Lightweight berasa bersyukur apabila terpilih mewakili Sarawak pada SUKMA kerana ia bagaikan impian menjadi kenyataan dan hasilnya selama bertahun-bertahun untuk berlatih telah membuahkan hasilnya.
“Memandangkan saya telah disenarai pendek untuk mewakili Sarawak, saya telah menjalani latihan secara intensif selama enam bulan dari pagi hingga petang.
“Saya memang tidak menyesal menceburi dalam sukan tinju ini kerana saya betul-betul minat untuk menjadi seorang petinju,” katanya ketika ditemui TVS di sini, semalam.
Ditanya bagaimana minatnya tercetus dalam acara sukan tersebut, Dhia memberitahu bahawa ia adalah minatnya bersama bapanya yang selalu menonton pertarungan aksi dalam Ultimate Fighting Championship (UFC) dan World Boxing Championship (WBC) serta sukan tempur.
Kemudian, bapanya mencadangkan Dhia untuk sertai Joe’s Academy of Boxing di Sibu dan sehingga kini minatnya dalam sukan tersebut kian membara sejak empat tahun yang lalu.
Dhia yang mengidolakan ‘Kilat Boy’, optimis dengan pengalamannya serta pencapaian pada kejohanan tinju lepas mampu membawanya ke final dan seterusnya merangkul pingat emas buat Bumi Kenyalang.
“Ada sesetengah pihak lawan yang pernah saya jumpa dan ada yang belum pernah saya jumpa tetapi dari segi permainan mereka, saya sudah dapat menjana idea bagaimana untuk bertarung dengan mereka,” katanya lagi.
Sementara itu, Patricia yang dinobatkan sebagai petinju terbaik pada Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2024 baru-baru ini mengakui gugup untuk bertanding pada SUKMA kali ini tetapi terus bersemangat untuk melakar kemenangan pertamanya pada edisi itu.
Anak kelahiran Puncak Borneo yang berumur 17 tahun itu bagaimanapun telah membuat persiapan yang rapi bagi mengekalkan momentumnya kelak.
“Sejujurnya, saya sangat berbangga apabila terpilih mewakili Sarawak tetapi pada masa sama agak gugup juga kerana SUKMA ini adalah pertama kali saya bertanding.
“Saya telah melakukan persiapan yang cukup rapi dan berlatih dengan bersungguh-sungguh serta lakukan yang terbaik bagi memastikan pingat emas dapat dituai oleh Sarawak,” katanya.
Ibu bapanya banyak memberi sokongan sepanjang penglibatannya dalam kejohanan tinju dan berjanji akan tidak menghampakan impian ibu bapanya yang mahu anaknya menjulang pingat emas.
Dhia akan berentap dengan Syed Muhammad Hanafi Syed Affindi dari Perak dalam suku akhir bagi kategori Light Welter (63.5kg) pada Isnin ini.
Patricia pula akan bertemu dengan Kwek Connie dari Pulau Pinang dalam suku akhir bagi kategori minimum (48kg) pada Ahad ini di Stadium Tertutup, Kompleks Sri Aman. – TVS