SIBU, 16 Ogos: Terengganu memerlukan sekurang-kurangnya dua gol bagi menempah tiket ke perlawanan suku akhir menentang Sabah petang ini.
Ketua jurulatihnya, Subri Sulong meyakini anak-anak buahnya akan beraksi sehabis baik pada aksi kumpulan B nanti.
“Saya rasa (strategi) istimewa itu tidak, kita (gunakan strategi) yang sama seperti kita menentang Johor tempoh hari. Cuma peluang yang ada itu, bagaimana kita hendak interpretasikan kepada gol.
“Hari ini, insya-Allah barisan hadapan Terengganu saya akan pertajamkan,” katanya ketika ditemui TVS sebelum sepak mula aksi penentuan antara Terengganu dan Sabah di Stadium Tun Zaidi di sini hari ini.
Sementara itu ketua jurulatih pasukan Sabah, Jelius Ating berkata kemenangan ke atas Johor pada perlawanan Rabu lalu sedikit sebanyak memudahkan pasukan itu untuk melangkah ke peringkat seterusnya.
Bagaimanapun aksi penentuan hari ini akan menentukan nasib pasukan itu.
“Saya juga memberi peringatan kepada pemain-pemain supaya tidak leka dan tidak selesa dengan kejayaan tempoh hari dan terus fokus, terus memberi tumpuan yang baik.
“Sentiasa berikan prestasi yang terbaik dalam perlawanan hari ini dan pastikan momentum baik yang mereka pamerkan dalam perlawanan pertama itu dapat dikekalkan dalam perlawanan hari ini,” jelasnya.
Sabah sebelum ini mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Johor manakala Terengganu tumpas di tangan Johor 1-0 pada aksi pembukaan kumpulan B Isnin lalu. -TVS