KUCHING, 16 Ogos: Peminat sukan seluruh negara akan dapat menikmati pengalaman siaran sukan yang dinamik sepanjang Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 menerusi teknologi terkini 5G-Advanced (5G-A) yang dikendalikan oleh gergasi telekomunikasi CelcomDigi, U Mobile dan rakan strategik teknologi, ZTE.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak, Datuk Liwan Lagang berkata, teknologi 5G-A ini memberikan pengalaman luar biasa kepada penonton temasya SUKMA XXI Sarawak 2024 dalam merasai liputan sukan yang dinamik tanpa perlu hadir ke stadium.
“Kita mempunyai teknologi yang membolehkan kita merasai suasana sebenar temasya sukan dengan hanya menonton acara-acara di rumah. Jangan risau sekiranya anda tidak mempunyai tiket masuk ke stadium, kerana rakan penyiar seperti RTM dan TVS akan memberikan siaran liputan sukan yang dinamik yang dikuasakan teknologi 5G-Advanced ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Liputan Siaran Langsung 5G-A Sukan Masa Hadapan di Kuching pada Jumaat.
Tambah Liwan, pengunjung boleh berkunjung ke pavilion khas CelcomDigi, U Mobile dan ZTE 5G-A yang terletak berhampiran Stadium Negeri Sarawak untuk merasai sendiri pengalaman realiti lanjutan (XR) yang didukung oleh teknologi 5G-A dan dikuasakan dengan kelajuan 30.8 gigabit sesaat (GBPS).
Katanya lagi, pengunjung turut akan dapat merasai sendiri suasana sebenar kepada para penonton menerusi cermin mata realiti maya (VR) menerusi penggunaan kamera 360 darjah berkuasa 5G-A yang dipasang di pelbagai lokasi di dalam stadium semasa temasya SUKMA XXI Sarawak 2024 ini berlangsung. -TVS