MIRI, 16 Ogos: Pasukan sofbol Selangor dapat mengatasi gemuruhnya sejurus pertembungan dengan tuan rumah menghasilkan menang bergaya dengan skor akhir 11-3 petang tadi.
Jurulatihnya, Ahmad Razani Rahim yakin kemenangan hari ini akan berlanjutan hingga bertembung dengan pasukan lain esok.
“Alhamdulillah hari ini atlet kita menunjukkan prestasi yang baik dan mendengar arahan.
Pada awalnya agak gemuruh kerana bertemu tuan rumah yang mempunyai ramai penyokong, tetapi para pemain dapat mengatasinya dengan baik dan melakukan pukulan yang kita hendak,” katanya ketika ditemui TVS selepas perlawanan Selangor vs Sarawak di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), di sini, hari ini.
Tambah Ahmad Razani lagi, beliau juga melihat para atlet bermain dengan penuh keyakinan pada aksi perlawanan itu.
“Setiap perlawanan kita kena menang dan prestasi hari ini harus ditingkatkan dengan lebih baik lagi kerana kita lihat mereka (atlet) menonjolkan keyakinan mereka dan saya harap perlawanan seterusnya kita boleh pergi jauh,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pasukan, Muhammad Haizad Hairulnizam, 21, berkata, dia sangat berpuas hati dengan perlawanan hari ini dan berharap pasukannya dapat membawa pulang pingat emas.
“Semalam kita agak kecewa tapi kita dapat tebus semula kekecewaan itu dengan menang 11-3 hari ini,” katanya.
Sehubungan itu, Timbalan Ketua Pasukan, Muhammad Syafiq Amran pula berkata, dia yakin pasukannya boleh melakukan terbaik kerana Selangor bukan calang-calang pasukan.
“Walaupun di awal minit perlawan ada ‘drop’ sikit tapi pertengahan dan akhir permainan itu kita dah nampak pasukan semakin yakin untuk pukul tangkap dan baling bola.
Kita bukan calang-calang pasukan kalau jatuh kita akan bangkit semula dan saya bangga kerana pasukan kami sememangnya layak untuk kemenangan ini,” katanya. -TVS