Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Malaysia diunjurkan mencatat angka eksport yang kukuh pada suku kedua 2024 walaupun unjuran konsensus pasaran luaran yang perlahan pada tahun ini. Foto hiasan Envato

Malaysia diunjur catat angka eksport kukuh pada suku kedua 2024

ByBernama

KUALA LUMPUR, 16 Ogos: Malaysia diunjurkan mencatat angka eksport yang kukuh pada suku kedua 2024 walaupun unjuran konsensus pasaran luaran yang perlahan pada tahun ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata secara umumnya permintaan luaran agak baik dan eksport nominal bagi suku kedua 2024 meningkat 5.8 peratus manakala import nominal merekodkan pertumbuhan dua angka sebanyak 15.0 peratus pada suku kedua 2024.

“Bagaimanapun, pertumbuhan import yang tinggi meskipun ini memperlihatkan kekukuhan permintaan domestik negara, turut menunjukkan negara semakin bergantung kepada sumber asing untuk memenuhi permintaan tempatan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata import lebih tinggi akan menyebabkan eksport bersih yang rendah, justeru boleh menjadikan penghitungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah lebih rendah.

“Terdapat keperluan penting bagi menggalakkan pelaburan untuk negara menambah baik dan mengurangkan pergantungan kita kepada sumber asing bagi input pengeluaran,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata walaupun import lebih tinggi, beliau mengunjurkan lebihan dagangan akan berterusan pada suku kedua 2024.

Jumlah eksport dan jumlah import adalah komponen penting untuk anggaran KDNK negara.

Pada Januari hingga Mac 2024, prestasi perdagangan Malaysia meneruskan trajektori meningkat, berkembang 7.1 peratus tahun ke tahun kepada RM690.59 bilion dengan lebihan RM34.22 bilion.

Bagi suku pertama tahun ini, eksport menokok 2.2 peratus tahun ke tahun kepada RM362.41 bilion manakala import meningkat 13.1 peratus tahun ke tahun kepada RM328.19 bilion.

Sementara itu, pakar ekonomi Prof Emeritus Barjoyai Bardai dari Malaysia University of Science and Technology (MUST), berkata ekonomi negara yang teguh akan menyumbang kepada pertumbuhan KDNK yang diunjurkan pada 5.8 peratus pada suku kedua 2024 berbanding 4.2 peratus pada suku pertama.

“Dengan sentimen ekonomi yang lebih baik, disokong oleh keyakinan pasaran, perbelanjaan swasta turut meningkat.

“Eksport dan import negara dijangka menokok pada suku kedua tahun ini. Import dilihat meningkat berikutan permintaan domestik semakin baik, dengan nilai import bahan mentah bernilai hampir RM80 bilion,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia mencatat jumlah pelaburan diluluskan yang tertinggi dalam sejarah negara, sebanyak RM329.5 bilion pada 2023, iaitu 23 peratus lebih tinggi berbanding 2022, menunjukkan minat pelabur asing untuk meneroka pasaran negara.

Mengenai prospek KDNK bagi setahun penuh, Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) pula mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus, menokok daripada 3.7 peratus pada 2023, justeru mengukuhkan keyakinan perniagaan.

Bank Negara Malaysia hari ini dijadual mengumumkan data KDNK suku kedua 2024. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan