SIBU, 16 Ogos: Skuad bola tampar dewan Johor mengakui gentar dengan aksi pasukan tuan rumah yang merupakan juara bertahan Sukan Malaysia (SUKMA) pada edisi lepas.
Presiden Persatuan Bola Tampar Johor, Franco Liu berkata cabaran mereka adalah untuk berdepan dalam kategori lelaki pada esok.
“Saya rasa mestilah daripada Sarawak kerana mereka tuan rumah, ada persiapan yang secukupnya dan pasukan lelaki Sarawak adalah juara bertahan pada SUKMA edisi lalu.
“Untuk pasukan wanita juga saya rasa Sarawak (pesaing hebat). Walaupun pasukan bola tampar dewan wanita Johor adalah juara bertahan tetapi kita tetap berhati-hati dengan tuan rumah,” katanya ketika ditemui TVS di Stadium Tertutup Bola Tampar Rejang Park di sini, hari ini.
Menurutnya pasukan Johor telah melakukan persiapan selama setahun lebih untuk beraksi pada SUKMA kali ini seklai gus meyakini bakal menebus kemenangan yang gagal diperoleh pada edisi lalu.
“Edisi lalu, pasukan lelaki mendapat tempat keempat atas faktor kesihatan pemain.
“Kali ini kita akan ambil balik emas itu,” ujarnya lagi.
Johor akan bertemu Kedah bagi aksi pembukaan bola tampar dewan (lelaki) yang berlangsung esok pagi di sini.
Franco dalam pada itu mendedahkan pasukannya akan lebih berhati-hati dengan pasukan dari negeri jelapang padi itu selain optimis mereka juga mampu menundukkan lawan. -TVS