Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pasukan bola sepak lelaki Sarawak menampilkan prestasi cemerlang dengan kemenangan 3-2 ke atas Pahang dalam aksi Kumpulan D Sukan Malaysia ke-21 (SUKMA), tetapi sayangnya, kemenangan ini tidak cukup untuk membawa mereka ke peringkat suku akhir. Foto Lorenzo Isaac (TVS)

Bola sepak: Tiada tiket ke suku akhir, Sarawak kekal cemerlang

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

MUKAH, 16 Ogos : Pasukan bola sepak lelaki Sarawak menampilkan prestasi cemerlang dengan kemenangan 3-2 ke atas Pahang dalam aksi Kumpulan D Sukan Malaysia ke-21 (SUKMA) namun gagal mara ke peringkat suku akhir.

Walaupun berjaya menjaringkan tiga gol pada separuh masa pertama, Pahang bangkit pada separuh masa kedua dengan dua gol, menjadikan perlawanan ini cukup mendebarkan.

Sarawak bermula kuat dengan jaringan awal oleh pemain No. 19, Mohamad Faris Mohd Faidillah, pada minit kelapan, diikuti oleh gol kedua daripada pemain No. 18, Amierul Safwan Hasdi Susalman, pada minit ke-16.

Gol ketiga Sarawak seterusnya dijaringkan oleh pemain No. 5, Asyraf Arwan, pada minit ke-25 yang memberikan mereka kelebihan 3-0 pada separuh masa pertama.

Namun, perlawanan ini turut menyaksikan perubahan taktikal, dengan pemain No. 7, Syami Fazly Fazlenny Sofian, digantikan oleh pemain No. 33, Mohamad Mukhriz Lizam.

Manakala pada separuh masa kedua, Pahang berjaya mengurangkan defisit dengan gol pertama menerusi pemain No. 11, Che Wan Ahmad Nasarul Nai Che Wan Irwan Shah, pada minit ke-48.

Pahang terus memberikan tekanan dan menjaringkan gol kedua mereka pada minit ke-82 melalui pemain No. 8, Arash Danial Abdul Am, tetapi tidak cukup untuk mengatasi Sarawak yang berjaya mengekalkan kedudukan mereka sehingga tamat perlawanan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine. Foto Lorenzo Isaac (TVS)

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine, turut memuji usaha gigih pasukan Sarawak serta sokongan padu daripada penyokong setia, terutamanya 10Division Ultras.

“Tahniah atas usaha dan semangat kuat yang ditunjukkan oleh pasukan Sarawak, serta sokongan padu dari 10Division Ultras. Walaupun kita tidak bernasib baik untuk melangkah ke peringkat seterusnya, semangat yang ditunjukkan oleh pemain dan penyokong membuktikan bahawa Sarawak tetap juara di hati kita,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan bola sepak Kumpulan D di Padang MDDM, Mukah, petang tadi.

Royston juga berharap agar semangat kesukanan ini akan diteruskan dalam acara sukan yang lain termasuk bola jaring yang akan menyaksikan Sarawak menentang Negeri Sembilan dalam perlawanan pertama di Mukah.

“Saya yakin bahawa semangat penyokong akan turut serta dalam memastikan pasukan Sarawak menerima sokongan padu. Walaupun kita tidak berjaya dalam bola sepak, kita berharap agar sukan-sukan lain akan terus membawa pulang pingat emas untuk Sarawak dan menjuarai SUKMA kali ini,” tambahnya lagi.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk berterima kasih kepada seluruh media yang memainkan peranan penting dalam memastikan setiap acara sukan di SUKMA XXI dikemas kini dari semasa ke semasa.

Jurulatih pasukan Sarawak, Awangko Shahbuddin Pengiran Abu Bakar. Foto Lorenzo Isaac (TVS)

Sementara itu, jurulatih Sarawak,Awangko Shahbuddin Pengiran Abu Bakar, meluahkan rasa syukur atas kemenangan ini, namun beliau turut merasakan kekesalan kerana Sarawak tidak berjaya melangkah ke peringkat suku akhir.

“Kami agak bertuah kerana dapat bangkit semula dan menang 3-2. Walaupun kita terpaksa berhadapan dengan banyak kecederaan, pemain-pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi,” ujarnya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan