BINTULU, 16 Ogos: Skuad bola sepak Pulau Penang berhasrat menyemarak semangat kemenangan ke pusingan suku akhir di Mukah nanti selepas berjaya membenam Kedah dalam kumpulan C, 1-0 di Stadium Bintulu, petang tadi
Jurulatih Pasukan Bola Sepak Pulau Pinang, Manzoor Azwira berpuas hati melihat prestasi dan momentum yang ditunjukkan oleh pasukannya sepanjang perlawanan di atas padang.
“Semua pemain kita berjuang berhabis-habisan, penuh kesungguhan dan kekentalan yang tinggi untuk menang,” katanya ketika ditemui media selepas selesai perlawanan Pulau Pinang menentang Kedah di Stadium Bintulu, hari ini.
Jelasnya, selepas ini fokus mereka adalah memeriksa tahap kesihatan dan kecederaan setiap pemain bagi memastikan keadaan mereka dari segi fizikal dan mental dalam keadaan terbaik termasuk merangka perancangan taktikal berdasarkan keperluan semasa.
Sementara itu, Ketua Pasukan Bola Sepak Pulau Pinang, Muhammad Amirul Iqmal berkata, strategi dan pola permainan untuk perlawanan seterusnya akan dibincangkan secara terperinci bersama dengan ketua jurulatih pasukan bagi menghadapi perlawanan seterusnya.
“Sepanjang beraksi di atas padang semua pemain kami telah memberikan 110 peratus usaha dan menggunakan segala input semasa latihan bagi mengekalkan kemenangan setakat ini,” jelasnya.
Pulau Pinang berjaya membolos satu gol ke atas Kedah pada separuh masa pertama melalui sepakan pemain yang menggunakan jersi nombor 18, Nor Shahmi Irfan Talaha. -TVS