MIRI, 15 Ogos: Skuad sofbal lelaki Sarawak yang tewas tipis 8-9 kepada Johor dalam aksi pembukaan hari ini optimis peluang untuk meraih pingat masih belum tertutup.
Ketua jurulatihnya, Aaron Abel Donald berkata perlawanan seterusnya menentang Selangor esok dan Terengganu akan menjadi penentuan sama ada mereka mampu melangkah ke separuh akhir atau sebaliknya.
Aaron berharap, atletnya akan lebih bersedia serta menunjukkan sikap tidak mudah mengaku kalah.
“Kita harap dapat merealisasikan sasaran berada pada kedudukan dua teratas yang akan membawa ke semi final.
“Ya, ia sukar namun kami akan meneruskan perjuangan untuk pingat emas,” katanya selepas perlawanan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri di sini hari ini.
Mengulas aksi bertemu Johor, Aaron Abel berkata anak buahnya memberikan saingan sengit kepada Harimau Selatan yang merupakan antara pasukan pilihan.
“Kekalahan hari ini boleh dikatakan bermaruah kerana atlet kita masih baharu serta kurang pendedahan berbanding dengan pasukan dari Semenanjung Malaysia yang menyertai banyak kejohanan di sana.
“(Namun) saya berpuas hati dengan prestasi mereka yang telah melakukan yang terbaik walaupun mereka masih baharu,” katanya.
Dalam perlawanan itu Sarawak pada awalnya mendahului Johor dengan 1-0 sebelum dipintas 6-2.
“Kita bangkit semula namun menghabiskan perlawanan dengan 6 innings dengan pungutan mata 8-9 iaitu kekalahan satu mata,” katanya. -TVS.