KOTA SAMARAHAN, 15 Ogos: Atlet dan pegawai yang menginap di Perkampungan Sukan wajar mengambil peluang berkenalan dan menjalinkan persahabatan sepanjang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sukan lebih bermakna dengan wujudnya perpaduan dalam kalangan atlet yang datang dari pelbagai negeri.
“Kita mahu melihat perkampungan ini menjadi pusat menjadi tempat untuk atlet-atlet dan juga pegawai-pegawai mereka yang terlibat beramah mesra dan bersukan dalam perpaduan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perkampungan Sukan SUKMA Sarawak 2024 di sini, hari ini.
Tambahnya, melalui maklum balas yang diterima setakat ini aspek penginapan dan pengangkutan adalah sangat baik dan pihaknya memberi jaminan akan segera mengambil tindakan sewajar sekiranya terdapat sebarang masalah berlaku di Perkampungan Sukan SUKMA.
SUKMA kali ini diadakan di sembilan bahagian berbeza di seluruh Sarawak melibatkan beberapa buah daerah dan terdapat lima perkampungan sukan utama dan keseluruhan 33 Perkampungan Sukan sama ada melibatkan hotel atau di institusi pengajian tinggi. – TVS