KUCHING, 15 Ogos: Negeri Sembilan berjaya meraih pingat emas pertama pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 menerusi acara Taijiquan wushu lelaki hari ini.
Kejayaan itu hadir menerusi Wong Zi Hong yang menampilkan aksi kemas dan berhasil memungut 9.536 mata.
Penentuan pingat perak dan gangsa acara berkenaan di Dewan Wushu SSC Petra Jaya lebih sengit apabila dua peserta Lee Cheng Yang dari Perak dan atlet tuan rumah, Mo Xiao Yuan meraih mata sama 9.533.
Barisan juri bagaimanapun memilih Chee Yang selaku pemenang tempat kedua dan Xiao Yuan terpaksa akur di tempat ketiga.
Sementara itu Zi Hong ketika ditemui berkata, dia gembira kerana dapat memenang pingat emas pertama untuk Negeri Sembilan.
Atlet berusia 21 tahun itu mengakui dia berasa tertekan sebelum perlawanan namun bebannya selesai apabila muncul juara SUKMA.
“Sekarang saya rasa teruja kerana dapat pingat emas walaupun sebenarnya secara peribadi saya rasa prestasi tidak bagus hari ini, cuma 80 peratus sahaja, mungkin kerana masih demam,” katanya.
Sementara itu atlet Sarawak Xiao Yuan berkata, ini merupakan kali terakhir dia menyertai SUKMA.
“Saya gembira kerana masih boleh mengawal diri, meneruskan pertandingannya walaupun dalam keadaan selesema,” katanya. -TVS.