SRI AMAN, 15 Ogos: SUKMA Sarawak 2024 tampil sebagai edisi sulung temasya sukan itu memperkenalkan kategori wanita bagi acara tinju yang bermula esok, 16 hingga 23 Ogos ini.
Tiga kategori wanita yang bakal beraksi adalah Minimum Weight (45-45 kg), Fly Weight (48-52 kg) dan Feather Weight (52-57 kg) melibatkan 15 atlet wanita di Stadium Tertutup, Kompleks Sri Aman, di sini.
Naib Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) Datuk Rahman Lariwoo berkata sudah tiba masanya Malaysia melahirkan petinju wanita yang berpotensi mengharumkan nama negara.
Selaku Presiden Persatuan Tinju Sarawak (SABA), Rahman juga percaya wilayah ini akan melahirkan atlet tinju wanita hingga berjaya melangkah ke peringkat antarabangsa.
“Kepercayaan itu ada di dalam diri saya dan yakin kerana setelah pergi ke mana-mana negara melihat perkembangan sukan tinju, negeri kita di Sarawak boleh memberikan sumbangan yang bagus daripada pihak perempuan untuk sukan tinju kali ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi taklimat dan sesi undian di Seri Simanggang Hotel di sini hari ini.
Rahman mendedahkan Sarawak mempertaruhkan tiga atlet wanita dalam ketiga-ketiga kategori yang dipertandingkan dan optimis mereka akan membutirkan emas.
Selain Sarawak, kontinjen dari Terengganu, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Sabah, Perak dan Selangor turut mencuba nasib dalam kategori wanita serta mahu menyapu bersih ketiga-tiga pingat emas yang dipertandingkan. – TVS