MIRI, 14 Ogos: Wilayah Persekutuan menghantar atlet kebangsaan iaitu Nur Ku Zarith, 17, bagi bertanding dalam sukan pelayaran pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.
Jurulatihnya, Ahmad Hakimi berkata, beliau yakin dengan pemilihannya kerana Nur Ku Zarith mempunyai prospek cerah untuk memenangi pingat.

“Atlet kita mungkin berbeza dengan yang lain, kali ini kita hantar seorang sahaja wakil untuk pelayaran kerana dia (Nur Ku Zarith) ialah atlet kebangsaan.
“Sebelum ini kita pernah menghantar atlet-atlet dalam dua ke tiga acara tapi untuk tahun ini kita hantar yang betul-betul ‘medal prospect’,” katanya ketika ditemui TVS di Lapangan Terbang Miri, di sini hari ini.
Untuk rekod, Nur Ku Zarith telah aktif dalam sukan pelayaran sejak enam tahun lalu.
Mengulas lanjut berhubung pungutan pingat, Hakimi berkata pihaknya menyasarkan untuk memperoleh semua jenis pingat.
“Semua warna, yang pastinya sasaran kita untuk bersaing dengan atlet ‘national centre’ dari Pahang, Perlis dan Selangor,” jelasnya lagi.
Ditanya pula berhubung sesi latihan sebelum ke kempen SUKMA, Hakimi berkata pasukan pelayaran mengalami sedikit cabaran terutama dari segi cuaca.
“Cabarannya adalah cuaca, kalau pagi angin dia lain, petang juga lain dan untuk kita dapatkan situasi angin seperti di Sarawak itu agak sukar.
“Namun kita sebelum ini, berlatih di Langkawi dan Port Dickson untuk sesi latihan bagi membiasakan atlet kita dengan faktor cuaca,” katanya. –Â TVS