MUKAH, 14 Ogos: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah amat gembira dengan sokongan yang diberikan penonton di venue acara Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.
Menurutnya, sokongan padu terutama daripada rakyat Sarawak amat diperlukan dan dihargai dalam membantu misi Sarawak muncul juara pada temasya kali ini.
“Kita mahu seluruh rakyat Sarawak hadir dan memberikan sokongan kepada pasukan kita. Dengan sokongan penuh, kita berhasrat untuk menjuarai SUKMA tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan perlawanan bola sepak lelaki antara Sarawak dan Wilayah Persekutuan di Stadium Mukah, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tellian Royston Valentine.
Beliau memberi contoh ketika perlawanan futsal antara Sarawak dan Pahang di Stadium Tertutup Kota Samarahan petang ini yang menyaksikan tuan rumah menang 3-2.
“Saya difahamkan stadium tersebut penuh dengan penyokong setia. Suasana ini sangat menggalakkan dan saya berharap sokongan ini akan berterusan di semua venue,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan kegembiraannya apabila kontinjen Sarawak berjaya mengutip emas pertama menerusi Stephanie Ngu Chai Ern dalam acara wushu, hari ini.
Sehubungan itu, beliau yakin prestasi atlet Sarawak berada pada tahap yang tinggi dalam semua acara.
Mengenai penganjuran, beliau berkata setakat ini semua acara berjalan lancar dan tiada insiden negatif dilaporkan.
“Saya gembira melihat semua acara sukan berlangsung dengan baik tanpa sebarang masalah,” katanya.