BINTULU, 14 Ogos: Skuad Sepak Takraw Wanita Sarawak mahu ‘tunjuk taring’ dalam perlawanan seterusnya dan menggunakan input yang dipelajari sepanjang menjalani latihan di luar Sarawak termasuk di Thailand.
Menurut Tekong, Vanessa Emelda, 19, pasukan tersebut menjalani latihan di Thailand selama tiga minggu bagi memberi pendedahan dan persiapan sebelum berentap di dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
“Hari ini walaupun mengalami kesukaran untuk mengalahkan pihak lawan pada babak pertama, tetapi kami berjaya meningkatkan momentum persembahan dengan baik serta memberansangkan selepas itu,” katanya ketika ditemui media selepas perlawanan pusingan round robin bertempat di Stadium Muhibbah, Bintulu hari ini.
Vanessa yang berasal dari Siburan menjelaskan, mereka telah memulakan sesi latihan pada penghujung Mac sehingga Ogos bagi memastikan tahap ketersediaan pasukan Sepak Takraw wanita Sarawak di tahap optimum dalam memburu pingat emas.
Sementara itu, bagi Willcemina Lengi pula, latihan yang mereka jalani sebelum ini membantu mengurangkan rasa gementar semasa beraksi di dalam gelanggang.
“Kami bertiga akan cuba memberi semangat dan sokongan kepada diri masing-masing supaya meneruskan perjuangan sehingga ke minit terakhir pertandingan,” jelasnya.
Tambah Willcemina, komunikasi dan komitmen yang baik dalam kalangan ahli pasukan juga merupakan salah satu aspek penting bagi memastikan mereka berjaya meloloskan diri ke pusingan seterusnya.
Pengurus Pasukan Sepak Takraw Sarawak, Sarbini Mahdi turut berpuas hati melihat prestasi yang ditonjolkan oleh anak-anak buahnya untuk mengalahkan pihak lawan.
“Saya sangat bersyukur kerana semua input yang diberi semasa latihan sebelum ini dipraktikkan sepenuhnya oleh pasukan kita hari ini,” ujarnya.
Katanya, skuad Sarawak sentiasa bersedia untuk bertembung dengan skuad dari negeri lain yang turut mengambil bahagian di dalam SUKMA tahun ini.
Perjuangan Skuad Sepak Takraw wanita Sarawak bakal diteruskan malam esok (15 Ogos) berentap melawan skuad Pulau Pinang untuk pusingan round robin. – TVS