BINTULU, 14 Ogos: Skuad sepak takraw Perlis mahu mengekalkan corak permainan yang sama bagi memastikan mereka berjaya menundukkan skuad Wilayah Persekutuan dalam pusingan round robin malam ini.
Skuad Perlis antara skuad yang berjaya mencipta kemenangan awal selepas mengalahkan skuad Brunei dengan pungutan mata 3-0 di sebelah pagi.
Fedeer Skuad Bola Sepak Perlis, Wan Norhabif Rosdi mengakui lawan mereka selepas ini iaitu skuad Wilayah Persekutuan mempunyai kelebihan dan kekuatan mereka tersendiri di dalam acara Sepak Takraw pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 kali ini.
“Kami akan menggunakan senjata utama kami untuk berhadapan dengan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada petang ini,” katanya ketika ditemui TVS selepas perlawanan bersama skuad Brunei di Stadium Muhibbah, Bintulu hari ini.
Ditanya mengenai keyakinan berkenaan keupayaan Perlis untuk menempatkan diri di tangga tiga teratas atau peringkat akhir, Wan Norhabit menjelaskan, perkara yang diberi penekanan buat masa sekarang ialah memastikan semangat juang semua ahli pasukan sentiasa berada pada tahap yang terbaik untuk mencapai sasaran tersebut.
“Walaupun sebelum ini skuad kita ada mengalami masalah dari segi kekurangan pemain kerana banyak yang terikat dengan kerja hakiki masing-masing sekali gus memberi kesan kepada latihan pasukan,” tambahnya.
Sementara itu, bagi Penolong Jurulatih Pasukan Perlis, Muhammad Fahmi Mohamad Fauzi pula, dia berharap agar semua pemain Perlis terus tenang dan tidak tertekan bagi memastikan mereka dapat memberi persembahan yang terbaik untuk pusingan seterusnya.
“Kita berharap pemain-pemain kita terus sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan yang dapat memberi kesan kepada pola permainan.
“Antara format yang akan kami ketegahkan selepas ini ialah meletakkan pemain mengikut keadaan untuk memastikan skuad Sepak Takraw Perlis berjaya mara ke peringkat separuh akhir dan peringkat akhir,” ujarnya.