KUCHING, 14 Ogos: Sarawak meraih pingat emas pertama temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 menerusi acara wushu wanita yang berlangsung di Dewan Wushu Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) sebentar tadi.
Atlet Sarawak, Stephanie Ngu Chai Ern mengatasi cabaran 17 atlet lain menerusi acara Changquan selepas mendapat markah tertinggi 9.603 dalam acara itu.
Pingat perak dimenangi atlet Johor, Lee Jia Rong dengan pungutan mata 9.600 manakala atlet Melaka memenangi gangsa selepas meraih pungutan mata 9.586.
Kejayaan itu lebih manis apabila pingat emas pertama Sarawak itu dikalungkan sendiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Ja’afar.
Beliau yang diiringi diiringi isteri beliau, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi turut berkesempatan hadir untuk menyaksikan acara wushu bagi kategori taijijian lelaki. – TVS