KUCHING, 14 Ogos: Skuad futsal Sarawak menewaskan Pahang 3-2 untuk meraih kemenangan pertama dalam Kumpulan B pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Stadium Tertutup Kota Samarahan dekat sini hari ini.
Selepas seri 4-4 dengan Perak pada perlawanan pembukaan semalam, pasukan tuan rumah bimbingan Faizal Zamri tidak perlu menunggu lama untuk berada di hadapan menerusi jaringan Mohammad Nazir Mahdini dan Asyraff Zakaris, kedua-dua gol pada minit ketiga.
Sorakan daripada penonton menyuntik semangat Sarawak untuk terus menggandakan asakan sehingga berjaya menyumbat gol ketiga pada minit ketujuh seterusnya meninggalkan Pahang tanpa sebarang jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.
Masuk separuh masa kedua, Pahang yang membuka kempen hari ini bangkit dengan rentak serangan apabila Muhammad Syazwan Mohd Zukri berjaya menghadiahkan dua gol masing-masing pada minit ke-28 dan 34.
Dalam satu lagi aksi kumpulan B, Johor terus gagal mengutip sebarang mata selepas mengalami kekalahan kedua berturut-turut apabila tewas 3-4 kepada Perak.
Terdahulu, dalam aksi kumpulan A, Wilayah Persekutuan yang datang ke Bumi Kenyalang dengan misi mempertahankan kejuaraan bermula agak malang apabila kalah 1-2 kepada Pulau Pinang.
Pulau Pinang memperoleh gol pertama pada minit ke-11 menerusi jaringan ketua pasukan, Faris Humaidi Hussaini sebelum The WiPers menyamakan kedudukan empat minit kemudian hasil gol sendiri pemain lawan, Muhamad Aidid Alfian Zainol Bharin.
Ingin menebus kekalahan dalam perlawanan pembukaan kumpulan A semalam, Pulau Pinang terus menggandakan serangan sebelum Muhamad Aidid Alfian berjaya menjaringkan gol pada minit ke-23 untuk memastikan kemenangan pasukannya.
Terdahulu, dalam satu lagi aksi kumpulan sama, Terengganu mengekalkan rentak cemerlang apabila mengalahkan Sabah, 3-2.