SIBU, 14 Ogos: Skuad bola sepak lelaki Negeri Sembilan menghidupkan peluang untuk mara ke peringkat seterusnya selepas mengalahkan Kelantan 2-1 dalam perlawanan di Stadium Azman Hashim Sibujaya hari ini.
Jaringan pembukaan pasukan itu dihadiahkan Muhammad Alif Irfan Norsafidahlan pada minit ke-43.
Memasuki babak kedua, Kelantan menyamakan kedudukan pada minit ke-54 hasil jaringan Muhammad Faris Izzat Mohd Rozi.
Tidak mahu terus diikat, gol penyelamat saat akhir jaringan Mohamad Akif Azizi Ramzi memberikan kemenangan kepada pasukan Negeri Sembilan.
Ketua jurulatih pasukan Negeri Sembilan Azlan Ahmad berkata tiada ramuan rahsia yang diturunkan kepada para pemainnya, hanya mengharapkan anak-anak buahnya memberikan aksi yang terbaik dalam perlawanan hari ini.
“Pada babak pertama pemain-pemain saya berjuang habis-habisan dan dapat satu gol. Untuk separuh masa kedua mereka sedikit leka pada 10 minit terawal dan pasukan lawan dapat menyamakan kedudukan.
“Alhamdulillah hasil kerja keras pemain-pemain semua, kita dapat juga gol di minit-minit akhir dan itu sangat menyentuh hati kami semua,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS selepas perlawanan antara Negeri Sembilan dan Kelantan di Stadium Azman Hashim Sibujaya.
Ketua jurulatih pasukan Kelantan Ariff Hashim berkata meskipun anak-anak buahnya tersungkur pada aksi pertama pasukan itu, beliau berpuas hati dengan permainan yang ditunjukkan.
“Pemain-pemain saya mengalami kecederaan, kita akan lihat keadaan mereka terlebih dahulu.
“Jika boleh teruskan, kita akan teruskan tetapi jika sebaliknya, mungkin kita akan menukar sedikit formasi dan sebagainya untuk memastikan bahawa terdapat kesinambungan daripada permainan pasukan saya hari ini dan akan dibawa ke perlawanan seterusnya,” ujarnya.
Negeri Sembilan tewas 2-0 kepada Selangor dalam aksi pembukaan kumpulan A Isnin lalu.
Sementara itu Sabah berjaya menundukkan Harimau Selatan 2-1 dalam perlawanan kumpulan B di Stadium Tun Zaidi hari ini.
Kedua-dua gol Sabah dijaringkan kapten pasukan tersebut, Jenalter Justin pada minit ke-17 dan minit ke-79.
Johor terpaksa berpuas hati dengan satu gol hasil jaringan Mohamad Naim pada minit ke-87. – TVS