MIRI, 14 Ogos: Pasangan suami isteri, Segar Nalagi Subramaniam, 46 tahun dan Jayabarathi Dorajoo Durairajoo, 44, sanggup mengambil cuti panjang untuk menyokong anak mereka yang bertanding acara sofbol pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di sini.
Jayabarathi berkata, dia dan suami juga sangat berbangga dengan pencapaian anaknya, Kunaalan Segar serta berharap Johor akan membawa pulang kejayaan.
“Saya akan berada di Miri sehingga 19 Ogos ini.
“Saya sangat teruja dan pada masa sama berasa sebak kerana anak saya mampu sampai ke tahap ini.
“Sebelum ini saya menyaksikan perjuangan Kunaalan dan pasukannya yang berlatih bersungguh – sungguh untuk SUKMA,” katanya kepada TVS di Lapangan Terbang Miri, di sini hari ini.
Jayabarathi menambah anaknya telah berjinak dalam sukan tersebut sejak berumur 10 tahun.
“Dia memang minat sofbol dan turut disokong oleh abangnya yang juga merupakan atlet sukan ini.
“Tahun lepas, Kunaalan mewakili Malaysia dalam kejohanan di Turkiye dan mereka berjaya berada pada kedudukan top 10,” katanya.
Sementara itu, Segar Nalagi pula menzahirkan ucapan terima kasih kepada jurulatih pasukan yang dikenali sebagai Faiz kerana telah mendidik Kunaalan.
“Saya nak ucap terima kasih kepada Faiz kerana dia telah mendidik, mengajar dan memberi semangat kepada Kunaalan sejak berumur 10 tahun lagi.
“Tidak kira sudut pelajaran atau latihan sebagai atlet beliau (Faiz) telah banyak membantu,” katanya.
Acara sofbol akan bermula pada 15 Ogos ini dengan saingan kategori lelaki berlangsung di Padang Bola Sepak Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri manakala acara wanita dilangsungkan di Sekolah Menangah Kebangsaan (SMK) Merbau. -TVS.