KUCHING, 14 Ogos: Pemenang pingat pertama untuk Sarawak pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Fung Tai Leong percaya dia masih berpeluang meraih emas selepas ini.
Atlet berusia 20 tahun itu berkata, dia mempunyai dua acara lagi yang perlu diberi perhatian.
“Esok saya akan sertai acara Nangun manakala pada 16 Ogos pula Nandao, jadi harap boleh buat yang lebih baik berbanding hari ini dan menang emas,” katanya.
Pagi tadi di Dewan Wushu SSC, Petra Jaya, Tai Leong muncul penyumbang pingat pertama kepada kontinjen Bumi Kenyalang menerusi acara Nangquan lelaki.
Emas acara itu dimenangi oleh atlet Melaka Bryan Ti Kai Jie yang meraih pungutan mata 9.600.
Pingat perak menjadi milik Foo Mun Fei dari Perak manakala Tai Leong terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.
Ditanya mengenai persiapan menghadapi SUKMA, Tai Leong berkata dia mengambil masa selama dua tahun untuk menyiapkan diri termasuk berlatih selama dua bulan di China.
Mengenai aksi hari ini, dia mengakui berasa tertekan walaupun ini kali kedua menyertai SUKMA.
“Saya harap boleh dapat kedudukan yang lebih cemerlang namun sekurang – kurangnya dapat gangsa hari ini,” katanya. -TVS.