MIRI, 14 Ogos: Atlet termuda bagi sukan pelayaran dari Selangor, Nur Badrina Husna, 13, mengimpikan membawa pulang pingat emas pada pertandingan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 ini.
Katanya, biarpun masih baharu dalam pasukan tersebut, namun dia yakin pasukannya boleh memberi persembahan terbaik dan memungut pingat.
“Buat masa sekarang saya rasa hanya perlu memberi fokus kerana saya masih gementar, jika ia berterusan saya bimbang ia akan mengganggu prestasi permainan saya nanti.
“Apa pun sebagai atlet termuda dalam pasukan ini sudah tentu saya mengimpikan untuk membawa pulang pingat setelah berlatih bersungguh-sungguh sebelum ke acara besar ini,” katanya ketika ditemui TVS di Lapangan Terbang Miri di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Badrina berkata, dia turut berdepan dengan cabaran lebih-lebih lagi dia merupakan seorang pelajar dibangku sekolah yang baharu berusia 13 tahun.
“Pagi saya ke sekolah, pada sebelah petang pula saya akan membuat latihan. Jadi cabaran untuk saya memijak kaki di Bumi Kenyalang bagi pertandingan ini sangat sukar.
“Namun disebabkan minat saya dalam sukan ini sejak berumur 10 tahun lagi, saya yakin saya dapat mengharungi cabaran itu,” katanya lagi.
Sementara itu, jurulatih pasukan Selangor, Muhammad Dhiauddin Rozaini, 24, berkata, pasukannya sudah bersedia untuk bertanding.
“Sekarang ini, saya dapat katakan pasukan sudah bersedia 99 peratus kerana sebelum ke sini (Miri) kami juga mengadakan beberapa siri latihan untuk berdepan dengan pencabar utama kami iaitu Terengganu, Kedah dan tuan rumah (Sarawak),” jelasnya. – TVS