Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Jalur Gemilang - foto dari laman X Aaron Ago Dagang

Generasi muda penerus legasi kemerdekaan negara tercinta – Aaron Ago

ByAsmah Adenan

Kuala Lumpur, 14 Ogos: Konsep Malaysia MADANI menjadi kunci utama menyatukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama, namun penghayatan erti kemerdekaan dalam jiwa generasi muda kini didapati kian berkurangan.

Menteri Perpaduan, Dato Sri Aaron Ago Dagang dalam kenyataan media sosialnya hari ini berkata, disebabkan pelbagai faktor seperti kemajuan teknologi dan digitalisasi mengakibatkan anak muda lupa dengan sejarah, ketamadunan dan perjuangan negara berdaulat ini.

“Tidak patut untuk generasi kini hanya menganggap Hari Kemerdekaan merupakan hari cuti am untuk beriadah atau membeli-belah. Sejajar dengan tema Jiwa Merdeka, saya berharap agar generasi muda menjadikan sambutan Hari Kebangsaan sebagai platform pengukuhan jati diri dan kenegaraan.

“Tidak hanya berbekalkan semangat patriotik, generasi muda harus memahami, menghargai dan menghayati sepenuhnya erti sebenar kemerdekaan. Ini menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang anak watan yang berpatriotik,” ujarnya.

Jiwa Merdeka merupakan tema Hari Kebangsaan pada kali ini yang menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif.

Menjelas lanjut, katanya, Malaysia belum mencecah satu abad kemerdekaan, apatah lagi mencapai usia satu alaf tetapi saban tahun, nilai kemerdekaan semakin sepi dan sayu terutama dalam jiwa generasi muda.

“Justeru, generasi muda perlu lekas sedar dan hayati akan erti kemerdekaan, menikmati nilai kemerdekaan dan menjiwai pengorbanan pejuang-pejuang tanah air.

“Di sinilah tanah tumpahnya darah kita dan di sinilah langit yang kita junjung serta bumi yang kaki kita berpijak. Jelmakanlah sedikit semangat patriotik dan kenegaraan demi negara kita Malaysia,” tambahnya lagi.

Menurut beliau, lakukanlah sedikit pengorbanan dengan membeli dan memasang Jalur Gemilang di halaman rumah, tempat kerja dan kenderaan masing-masing demi menaikkan semangat kemerdekaan.

“Jika dahulu kita boleh lakukan, maka kini juga kita mampu kembalikan aura Bulan Kemerdekaan.

“Ayuh sama-sama kita mulakan untuk kibarkan bendera Jalur Gemilang. Jom kita ceriakan tempat sekeliling dengan Jalur Gemilang. Inilah masanya,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan