MIRI, 13 Ogos: Ketua Jurulatih Pasukan Sofbol Wanita Perak Hazrul Aman yakin pasukannya akan meraih pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.
Katanya, keyakinan itu wujud setelah merangka strategi, malah pihaknya telah mempelajari kelemahan masing-masing.
“Ya saya yakin sebab kami dah banyak buat perbincangan dan kami sudah kesan kelemahan kami dan kami juga dah kesan kelemahan mereka (pasukan lawan).
“Sasaran pasukan kami semestinya emas,” katanya kepada TVS setibanya di Lapangan Terbang Miri di sini, hari ini.
Ditanya mengenai pasukan Perak sering dikatakan sebagai sebuah pasukan yang memberikan saingan kuat, beliau berkata Perak turut mendapat saingan yang hebat dari pasukan lain yang turut diletakkan di dalam kumpulan yang sama.
“Pasukan Sofbol Wanita Perak diletakkan di bawah satu kumpulan yang sama dengan top four pasukan terkuat di Malaysia seperti Selangor, Johor dan Kuala Lumpur.
“Kebiasaannya kami akan bertemu di separuh akhir, untuk ini kita melihat kepada rezeki serta tuah. Para pemain juga perlu mempunyai persiapan mental yang kuat,” katanya.
Pasukan Sofbol Perak (lelaki dan wanita) tiba di Lapangan Terbang Miri pada 11.20 pagi dengan atlet seramai 34 orang dan diiringi lapan orang pegawai. – TVS