MIRI, 13 Ogos: Kontinjen Pahang sudah bersedia untuk menghadapi saingan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 dengan menyasarkan pingat emas bagi acara pelayaran kategori wanita yang akan berlangsung di Marina Bay pada 19 hingga 24 Ogos ini.
Menurut pengurus pasukannya, Ahmad Faizul Aswad, berdasarkan rekod lalu, Pahang sentiasa membuahkan hasil dengan memungut ketiga-tiga pingat.
“Kalau ikutkan tradisi sejak 2012 kami memang sentiasa memungut pingat walaupun dari pelbagai warna.
“Untuk kali ini, saya yakin pasukan sudahpun bersedia kerana kami telah menjalani latihan sejak Januari dan dua minggu sebelum ke sini (Sarawak), kami turut melakukan latihan intensif yang lebih lagi,” katanya ketika ditemui TVS di Lapangan Terbang Miri, hari ini.
Mengulas lanjut, Faizul berkata, beliau optimis pasukannya dapat melakukan yang terbaik dalam kempen kali ini.
“Walaupun kali ini 70 peratus atlet pelayaran adalah baharu, apa yang kami harapkan adalah mereka memberikan sesuatu di luar jangka kerana saingan sengit kami adalah dari sebelah timur semenanjung iaitu Terengganu dan sebelah utara pula adalah Kedah.
“Apa-apa pun kami percaya apa sahaja boleh berlaku sekiranya kami kekal fokus dan bersemangat,” jelas Faizul lagi. – TVS