KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Di atas kertas, pasukan boling perempuan Sarawak pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 ini dilihat berpeluang cerah untuk meraih ‘beberapa’ pingat emas.
Dibarisi juara Terbuka Antarabangsa Malaysia 2023, Lavinia Kho dan juara remaja dunia acara berpasukan, Nur Hazirah Ramli serta ditambah faktor beraksi di gelanggang keramat mereka iaitu Megalanes Sarawak, anak buah Angelo Koay kelihatan sukar digugat.
SUKMA : Pasukan boling Sarawak pertahankan gelaran juara keseluruhan
Pada 2016 ketika menjadi tuan rumah SUKMA, pusat boling dengan 42 lorong itu menghadiahkan 11 daripada 12 emas yang dipertandingkan kepada kontinjen Bumi Kenyalang.
Ini menjadikan pusat boling berkenaan sebagai igauan ngeri kepada pasukan lain yang ingin mencuba nasib memecahkan dominasi Sarawak.
Hanya Wilayah Persekutuan yang berjaya ‘mencuri’ satu emas menerusi trio lelaki ketika itu.
SUKMA : Pasukan boling Sarawak pertahankan gelaran juara keseluruhan
Sementara itu Lavinia yang meraih tiga pingat emas pada SUKMA 2022 di Kuala Lumpur berkata, dia dan rakan sepasukan tidak terlalu memikirkan label sebagai pasukan pilihan yang diberikan kepada mereka.
Sebaliknya pemain boling berusia 20 tahun berasal dari Kuching itu berkata, mereka hanya fokus kepada permainan sendiri.
“Sekiranya kami dapat beraksi dengan baik pada hari pertandingan selepas berlatih – latih bersungguh -sungguh, kita tengok hasilnya pada hari pertandingan,” katanya kepada TVS.
Enggan mendedahkan sasaran secara spesifik, Lavinia berkata, dia akan berusaha sehabis baik untuk membantu pasukan mencatatkan kejayaan.
Pada masa sama, Lavinia berkata saingan boling tidak boleh dipandang mudah kerana semua pencabar mempunyai kekuatan masing – masing.
” Bunyinya agak klise tetapi itulah kebenarannya.
“Pada hari pertandingan, diri sendiri akan menjadi musuh utama. Sekiranya dapat kawal permainan serta tidak gugup, pastinya dapat beraksi dengan baik,” katanya.
Selain Lavinia dan Nur Hazirah, pasukan Sarawak turut dibarisi Dayang Yumi Azreen Abang Azman, Asya Dania Azree, Andrea Tan Tze Shuen dan Claudia Kumang Jakson.
Skuad lelaki pula menampilkan Tsen Fan Yew, Ethan Damien Goh, Cornelius Aldhelm Sajat, Muhammad Isyraq Iqbal Ramadhan, Eldred Kho Yek Zhen dan Muhammad Ihsan Fikri Suffian.
Acara boling akan bermula pada 15 Ogos ini dengan menawarkan dua pingat emas masing – masing untuk kategori lelaki dan perempuan dan secara keseluruhan sebanyak 11 emas menjadi rebutan. -TVS.