KUCHING, 10 Ogos: Program Citra Nusa @ Indonesia: Kita Serumpun di bawah inisiatif Jabatan Muzium Negara Malaysia (JMM) diharap mampu meningkatkan pengetahuan, kesefahaman dan penghayatan khazanah warisan negara dalam kalangan masyarakat kedua negara.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, Malaysia dan Indonesia memiliki hubungan yang istimewa kerana berkongsi dari segi sejarah, budaya, kulinari dan bahasa.
Katanya, melalui penganjuran program itu, kesedaran dan kefahaman mengenai ikatan hubungan sejarah dan budaya antara kedua negara diharap mampu diwujudkan.
“Bukti sejarah kegemilangan Kerajaan Srivijaya, Majapahit, Melaka, Johor Lama, Perlak dan Pasai menjadi bukti ketamadunan di rantau ini.
“Hubungan tradisi Malaysia-Indonesia yang diasaskan kepada nilai sepunya dari sudut rumpun yang sama perlu terus diraikan dengan semangat setiakawan yang utuh,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Perasmian Citra Nusa @ Indonesia: Kita Serumpun di Muzium Kebangkitan Nasional, Jakarta, hari ini.
Program itu menurut Aaron dirangka khusus untuk menyokong usaha mempromosikan konsep MADANI yang menerapkan sikap saling hormat-menghormati, meraikan kepelbagaian serta medan dialog peradaban.
Kementerian Perpaduan Negara telah merancang 11 program Citra Nusa pada tahun ini untuk meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan khazanah warisan negara dalam kalangan masyarakat.
Antara pengisian utama program itu adalah penganjuran Pameran Kita Serumpun, iaitu pameran diplomasi budaya Malaysia-Indonesia yang bakal dimulakan pada 1 hingga 31 Ogos 2024.
Festival Kita Serumpun yang bakal menampilkan persembahan kebudayaan, demontrasi permainan tradisional, demontrasi kulinari dan program pendidikan muzium juga akan diadakan yang melibatkan penyertaan enam negeri dari Malaysia iaitu Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan dan Kedah.
Sementara itu, Aaron berharap agar program seumpama ini berupaya untuk memupuk semula minat masyarakat terhadap warisan yang bersifat ‘tangible’ (ketara) dan ‘intangible’ (tidak ketara) khususnya dalam kalangan generasi muda menerusi pendekatan meremajakan muzium melalui seni dan teknologi.
“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya berharap program ini akan menjadi satu rangsangan kepada masyarakat setempat khususnya di Kota Jakarta ini untuk berterusan menghayati erti sejarah dan ketamadunan melalui semua aktiviti yang dianjurkan.
“Penglibatan komuniti setempat melalui program seperti ini diharapkan dapat menjayakan objektif untuk meningkatkan semangat muhibah meraikan kekayaan budaya dan sikap saling menghormati di antara satu sama lain,” ujar Aaron.- TVS