MIRI, 13 Ogos: Penyertaan kali pertama dalam acara sofbal perempuan pada Sukan Malaysia (SUKMA) tidak menjadikan pasukan Sabah berasa rendah diri sebaliknya mereka memasang angan – angan untuk meraih pingat.
Kontinjen Negeri di Bawah Bayu itu meletakkan harapan besar untuk menamatkan saingan dalam kedudukan tiga teratas.
Jurulatihnya, Masyitah Rijap berkata mereka yakin dapat mencapai sasaran tersebut kerana telah bersedia sejak tahun lepas.
“Kami berlatih seminggu sekali dengan latihan intensif bermula pada Disember 2023 ,” katanya ketika ditemui TVS di Lapangan Terbang Miri, di sini hari ini.
Pada masa sama Masyitah mengakui skuadnya tidak berpengalaman berdepan lawan lain.
“Saya rasa saingan sengit terutamanya dari tuan rumah (Sarawak) dan juga Negeri Sembilan,” jelasnya.
Dalam pada itu, atlet sofbol Sabah Nurfatin Gundah, 18, berkata dia berasa amat gementar kerana merupakan pemain baharu dalam pasukan.
“(Namun) saya datang ke sini bukan sahaja untuk mencari kemenangan tetapi mahu menimba pengalaman baharu bersaing dengan pasukan lain,” katanya.
Bagi atlet lelaki sofbal pasukan itu Ferdenand Pur Robert, 20, berkata dia dan rakan sepasukan meneydari saingan sengit yang dihadapi untuk meraih pingat.
“Perak merupakan antara yang perlu diberi perhatian,” katanya.
Sementara itu dia turut berkongsi kesukaran menjalani latihan berikutan statusnya sebagai pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Samarahan.
Katanya pembahagian masa sebagai seorang pelajar dan atlet sangat sukar kerana dia terpaksa berulang alik ke Sabah untuk sertai latihan.
“(Selain itu saya juga) berdepan masalah kewangan. Kadang kala, saya akan terbang ke Sabah dan pulang semula ke Kuching keesokan hari untuk ke kelas. (Memang penat namun) bersyukur saya mampu mengharunginya dan dapat sertai SUKMA,” katanya.
Pasukan sofbol lelaki Sabah diundi dalam Kumpulan B bersama Perak, Pahang dan Negeri Sembilan manakala pasukan perempuan dalam Kumpulan D bersama Pahang, Negeri Sembilan dan Sarawa.
Acara itu dijadual bermula pada 15 hingga 19 Ogos di sini.
Pertandingan kategori lelaki diadakan di Padang Bola Sepak Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri manakala saingan kategori perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau. -TVS.