BINTULU, 13 Ogos: Kemudahan dan fasiliti sukan di sini perlu ditambah baik bagi memastikan bersedia menjadi venue rasmi penganjuran sukan berprestij sama ada di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming berkata, Sarawak dan Bintulu juga bersedia untuk menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027.
“Fasiliti sukan di Bintulu sekarang berfungsi dengan baik untuk penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) yang sedang berlangsung namun belum mencukupi sekiranya kita mahu menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027 kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau venue SUKMA di Stadium Muhibbah dan melawat ke pusat media hari ini.
Bintulu terlibat menganjurkan tiga acara SUKMA 2024 iaitu bola sepak di Stadium Bintulu dan padang Universiti Putra Malaysia (UPM), Muay Thai berlangsung di Paragon Mall dan sepak takraw di Stadium Muhibbah.
Sementara itu tambah Johnny, Sarawak juga berpotensi untuk menjadi penganjur bersama Sukan Asia dan Sukan Olimpik pada masa akan datang.
Pada masa sama beliau turut meminta sukarelawan dan pihak media turut menggalas peranan penting mempromosikan SUKMA tahun ini, venue sukan dan tempat-tempat yang menarik di Bintulu ini dan di Sarawak keseluruhannya.
“Pada masa yang semasa melalui penganjuran SUKMA ini ianya dapat membantu melonjakkan lagi industri pelancongan tempatan di sini,” katanya.
Tambahnya, banyak orang luar datang ke Bintulu bagi menyaksikan acara SUKMA yang dianjurkan di beberapa venue di bandar tersebut.
“Orang luar dapat mengenali Bintulu dengan lebih dekat terutamanya melihat sendiri produk tempatan dan makanan yang terkenal di sini seperti belacan, Laksa Sarawak, Mee Kolok, Ulat Sagu (Ulat Mulong) yang dijual di pasar tamu dan sebagainya,” jelasnya. -TVS.