KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Bekas pemain bola sepak kelab Nk Zvijeda Gradacac, Bosnia, Muhammad Rafieq Al Amzar Zulkifeli teruja apabila impiannya untuk beraksi pada pentas Sukan Malaysia (SUKMA) tercapai di Sarawak.
Penyerang berusia 21 tahun dari Selangor itu berkata, ketika berusia belasan tahun dia tidak berpeluang untuk menyertai SUKMA kerana beberapa faktor.
“Selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya terus terbang ke Bosnia dan bermain di sana selama dua tahun bermula pada 2021, oleh itu saya tidak sertai SUKMA 2022 di Kuala Lumpur.
“Pada 2020 pula SUKMA yang sepatutnya berlangsung di Johor dibatalkan kerana pandemik COVID-19,” katanya kepada TVS.
Muhammad Rafieq Al Amzar tiba di Bintulu beberapa hari lepas mewakili Pulau Pinang pada edisi kali ini.
Dalam aksi sulung semalam, pasukannya terpaksa berpuas hati apabila terikat 0-0 dengan Melaka.
Berkenaan sasaran pada SUKMA, Muhammad Rafieq Al Amzar tanpa berselindung mahu membantu skuad muda Harimau Kumbang itu meraih pingat emas yang dikatakan ‘ibu segala pingat itu’.
Dua tahun lepas, Pulau Pinang mara ke final namun dikecewakan Terengganu 0-2 sekali gus kempunan meraih pingat emas.
Sementara itu pemain yang pernah menyarung jersi Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC itu mengakui ini merupakan kunjungan kali pertamanya ke Sarawak dan berharap akan membawa tuah dengan kejayaan meraih pingat emas acara bola sepak lelaki.
Namun katanya pasukannya dijangka menerima tentangan sengit terutamanya oleh Johor dan Terengganu.
Pulau Pinang akan turun perlawanan kedua esok menentang Kedah bagi mencari tempat ke suku akhir. -TVS.