KUCHING, 13 Ogos: Bekas jaguh bina badan negara kelahiran Sarawak, Buda Anchah dan atlet-atlet bina badan dari Sarawak mengucapkan selamat beraksi kepada semua atlet muda Sarawak yang berentap dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak.
Beliau yang juga merupakan Jurulatih Kebangsaan Sukan Bina Badan ditemui pemberita semasa disambut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching jam 10 malam tadi.
“Kami mengucapkan selamat beraksi, sentiasa menjaga kesihatan dan menjaga adab yang tinggi sebagai atlet Sarawak. Berjuang bersungguh-sungguh. Jangan gentar. Agi Idup, Agi Ngelaban!” kata mereka,
Seramai 10 orang atlet bina badan berasal dari Sarawak mewakili Malaysia pada Kejohanan Bina Badan Mr Asia & Sukan Fizik Ke-56 2024 yang berlangsung pada 6 hingga 12 Ogos 2024 di Pacific Palace Hotel Convention Hall, Batam City, Indonesia.
Antara atlet tersebut ialah Ismadi Riji, Atlet Bina Badan PDRM kelahiran Sarawak telah berjaya mendapat tempat pertama bagi Kategori Bina Badan Master 45 tahun – 49 tahun (Atas 80 kg).
Turut memenangi tempat pertama, Dr Malvern Abdullah bagi Kategori Fizik Lelaki (Atas 160 cm) dan Philomena Dexclyn Siar bagi Kategori Fizik Sukan Wanita (Atas 35 Tahun).
Philomena turut menyumbang tempat ketiga bagi pasukan negara dalam Kategori Women Ladies Sports Physique (Atas 35 Tahun).

Selain itu, seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak, Siti Hadjar Mansor Awang Hitam berjaya menggondol tempat ketiga kategori “up to 55kg” manakala Joseph Ladi, atlet bina badan PDRM berasal Sarawak memenangi tempat ketiga bagi Kategori Bina Badan Lelaki 65 kg.
Selain beliau, atlet bina badan PDRM berasal Kuching, Aflisahyir Ali turut memenangi tempat keempat bagi Kategori Fizik Atletik Lelaki ( Atas 167 cm).
Seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Mohd Faizal Mat Rashid berjaya memenangi tempat keempat bagi Kategori Fizik Atletik Lelaki (Atas 170 cm).
Beliau melahirkan rasa bersyukur atas kejayaan ini dan sangat berterima kasih kepada Jurulatih Kebangsaan Sukan Bina Badan, Buda Anchah atas tunjuk ajar dan sokongan selama ini.
Selain itu, Faizal juga turut mengucapkan jutaan terima kasih juga buat warga PDRM terutama Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata atas sokongan dan peluang diberi kepada beliau untuk menyertai kejohanan antarabangsa tersebut serta mengharumkan nama pasukan polis.
“Saya mengambil peluang ini mengucapkan terima kasih kepada guru saya, Abang Buda atas kejayaan ini. Jutaan terima kasih kepada PDRM terutama Dato CP Sarawak dan pengelola pasukan bina badan PDRM Bukit Aman atas peluang dan sokongan untuk mengharumkan nama pasukan,” ujar Faizal.

Selain itu, atlet bina badan Sarawak Awang Mohd Azizul Ghani dari Kuching telah memenangi tempat keempat bagi Kategori Bina Badan 75 kg serta atlet Sarawak dari Miri tempat kelapan bagi Kategori Fizik Atletik Lelaki (Atas 175 cm).
Pemilik Enrich Fitness, Krishna Kumar, turut memuji atlet-atlet bina badan Sarawak dan pasukan Sarawak menjadi contoh untuk negeri lain menerusi satu kenyataan di facebook peribadi beliau hari ini.
“Setiap champion made by another champion, tengok lah Buda jadi coach, banyak atlet dari Sarawak. Majoriti atlet negara dari sana, contoh yang baik untuk negeri lain”, jelas Kumar.

Skuad Bina Badan Malaysia muncul pasukan terbaik di Asia Tenggara dan ketiga terbaik Asia di 56th Asian Bodybuilding and Physique Sports Championship 2024 di Batam, Indonesia selepas berjaya membawa pulang 5 pingat emas, 2 perak dan 7 gangsa dalam kejuaraan itu. Atlet-atlet dari Sarawak telah menyumbang sebanyak 3 pingat emas dan 4 gangsa.- TVS