KUCHING, 12 Ogos: Berbaris tiga jam setengah bermula 6.30 pagi langsung tidak mematahkan semangat Nurul Rasyidah Alwani untuk mendapatkan tiket percuma ke Majlis Perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.
Nurul, 18, antara warga Kuching berjaya mendapatkan tiket pada 10 pagi selepas berbaris panjang di pusat pengagihan tiket di Stadium Sarawak, di sini hari ini.
“Alhamdulilah. Tak sia-sia saya beratur berjam-jam menunggu. Sangat gembira,” katanya ketika ditemui di pekarangan stadium.
Menurutnya, dia merancang menonton majlis perasmian pada malam 17 Ogos bersama ahli keluarganya.
“Pengalaman menyaksikan upacara pembukaan SUKMA bukan senang nak dapat. Saya tak sabar hendak menyaksikan persembahan-persembahan.
“Semestinya saya mahu menunggu hadiah cabutan bertuah yang menarik,mana tahu ada rezeki saya menang hadiah,” katanya.
Sebanyak 7,500 tiket bagi menyaksikan Majlis Perasmian SUKMA Sarawak 2024 diagihkan hari ini, manakala 7,500 keping lagi akan diagihkan esok bermula 10 pagi sehingga tiket selesai.