KUCHING, 12 Ogos: Syarikat tenaga dari China, Shanghai Electric Power T&D (M) Sdn Bhd teruja dan kagum dengan inisiatif Sarawak dalam mengembangkan lagi tenaga boleh diperbaharui.
Sehubungan itu, pengerusinya, Wu Lei berkata pihaknya berharap agar berpeluang turut serta dalam membangun Sarawak sebagai hab tenaga boleh diperbaharui di rantau ini.
Harapan itu dinyatakannya kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerusi sesi kunjungan hormat di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Menurut Wu Lei, beliau berbesar hati dapat bertemu dengan Abang Johari dan berpeluang untuk menyatakan minat bagi bersama-sama menerokai sektor tenaga boleh diperbaharui berdasarkan pelan induk negeri ini.