Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Jurulatih Pasukan Bola Sepak Johor, Sanz Zaballos. Foto TVS

SUKMA: Terengganu jumpa Johor aksi pembukaan kumpulan B

ByTVS

SIBU, 12 Ogos: Aksi pembukaan kumpulan B acara bola sepak lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 menyaksikan juara edisi lalu, Terengganu bertemu dengan kuasa besar bola sepak, Johor di Stadium Tun Zaidi di sini hari ini.

Pengurus Pasukan Bola Sepak Terengganu, Yahaya Mohd Noor berkata, pasukannya menurunkan empat ke lima pemain daripada pasukan Liga MFL untuk beraksi dalam kejohanan SUKMA edisi kali ini.

“Insya-Allah, kata orang, untuk mengekalkan kejuaraan ini tidak semudah untuk menjadi juara. Saya yakin dengan adanya pemain-pemain yang kita turunkan daripada Liga MFL, kita dapat mempertahankan kejuaraan,” katanya kepada TVS ketika ditemui di Stadium Tun Zaidi.

Manakala Jurulatih Pasukan Bola Sepak Johor, Sanz Zaballos juga meletakkan keyakinan terhadap anak-anak buahnya untuk mempamerkan prestasi cemerlang pada SUKMA kali ini.

“Sejak Januari lepas kami telah menjalani latihan dan menyertai perlawanan-perlawanan sebagai persiapan untuk berentap dalam SUKMA.

“Saya harapkan yang terbaik daripada pasukan,” jelasnya.

Kedua-dua pasukan tersebut diundi dalam kumpulan B bersama pasukan Sabah, manakala Selangor, Negeri Sembilan dan Kelantan melengkapkan kumpulan A.

Kumpulan A pula menyaksikan Selangor bertemu dengan Negeri Sembilan pada aksi pembukaan di Stadium Azman Hashim, Sibujaya yang juga dijangka bermula pada jam 4 petang ini.

Sementara itu Pengurus Venue, Ezekiel Lawat berkata, Stadium Tun Zaidi yang berkapasiti 500 pengunjung itu sedia menerima kehadiran para peminat dan penyokong sukan bola sepak bermula hari ini sehingga 17 Ogos kelak.

“Secara keseluruhannya tahap kesediaan (venue) agak baik. Kerjasama daripada semua ahli jawatankuasa (AJK) baik dari segi teknikal, pengurusan dan sebagainya juga sangat baik.

“Semua AJK iaitu lebih kurang 100 orang bekerjasama untuk menjayakan temasya SUKMA bagi acara bola sepak di Stadium Tun Zaidi ini,” ujarnya.

Untuk rekod sebanyak tiga acara dipertandingkan di Sibu iaitu bola sepak lelaki di Stadium Tun Zaidi dan Stadium Azman Hashim, bola tampar dewan di Dewan Bola Tampar Rejang Park dan badminton di Stadium Tertutup Sibu. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan