BINTULU, 12 Ogos: Persediaan Stadium Bintulu yang menjadi venue untuk acara bola sepak bersempena dengan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 berada pada tahap optimum, kata Pengurus Venue Stadium Bintulu, Andre Kueh Richard Mering.
Beliau berkata, persiapan itu melibatkan padang dan keseluruhan kemudahan yang akan digunakan oleh setiap pasukan yang akan berentap dalam acara bola sepak.
“Kerjasama yang diberikan oleh semua Ahli Jawatankuasa (AJK) yang terlibat pada tahap yang amat memuaskan.
“Kami semua telah bersiap sepenuhnya untuk perlawanan pembuka tirai petang ini (12 Ogos) sehingga 16 Ogos 2024 ini,” katanya ketika ditemui TVS semasa membuat tinjauan persiapan terakhir di venue hari ini.
Jelasnya, terdapat 14 jawatankuasa (kira-kira 100 orang petugas) yang terlibat sama di dalam persediaan venue kali ini.
“Kita berharap perlawanan yang melibatkan beberapa kumpulan bola sepak di venue ini berjalan dengan lancar dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada semua kumpulan yang bakal berentap,” tambahnya.
Untuk rekod, hari pertama Isnin (12 Ogos 2024) acara bola sepak lelaki Kumpulan C iaitu Pulau Pinang akan menentang Melaka bermula pukul 4 petang ini.
Kluster Bintulu kali ini akan menyaksikan tiga acara atau permainan dianjurkan di beberapa venue di Bintulu yang melibatkan bola sepak, muay thai dan sepak takraw. -TVS