KUCHING, 12 Ogos: Presiden Persatuan Veteran Tentera Kor Renjer (PVTKR), Lt Kol (B) Mohd Melintang Abdullah memohon kerajaan menyelesaikan isu pelarasan pencen khususnya bagi anggota yang menamatkan perkhidmatan selepas tahun 2013.
Beliau turut berharap pelarasan pencen tersebut turut diambil kira dalam pengumuman gaji Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Ogos 2024.
“Isu itu masih belum selesai sejak 2014. Ramai dalam kalangan mereka berkhidmat di zaman Darurat 1, Konfrontasi dan Darurat 2 (1946 hingga 1990) dan berusia antara 52 ke 99 tahun dan ada juga yang sudah meninggalkan kita,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Makan Malam Amal PVTKR serta Pelancaran Buku Agi Idup Agi Ngelaban Sempena Hari Pahlawan 2024, pada Ahad.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof turut hadir pada majlis tersebut.
Menurutnya, Sarawak melahirkan pasukan elit iaitu Sarawak Renjer dan pahlawan terkenal yang menjadi kebanggaan negeri ini.
Tambahnya, kira-kira 17,000 veteran tidak termasuk bekas polis yang banyak berjasa dan berkorban mempertahankan kedaulatan negara di Sarawak.
“Kali terakhir Kerajaan Pusat menzahirkan penghargaan terhadap pejuang tentera ialah melalui bayaran sekali beri berjumlah RM500 pada 2021,” ujarnya.
Hari Pahlawan 2024 Peringkat Negeri Sarawak dianjurkan oleh persatuan veteran dengan mengadakan perjumpaan bersama-sama ahli di beberapa daerah.
Sambutan diadakan bertujuan mengingati jasa dan pengorbanan pahlawan negara dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Untuk rekod, Persatuan Veteran Tentera Kor Renjer (PVTKR) yang ditubuhkan pada 2015 kini mempunyai 1,150 ahli. -TVS