KUCHING, 12 Ogos: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah gembira dengan sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai yang ingin menyaksikan upacara pembukaan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Stadium Sarawak.
Menurutnya, beliau agak terkejut apabila dimaklumkan tentang orang ramai yang sanggup berbaris panjang untuk mendapatkan tiket percuma masuk ke stadium pada malam 17 Ogos ini.
“Stadium (Sarawak) kita ini mempunyai kapasiti yabg dapat menampung lebih kurang 40,000 orang.
“Kita perlu mengambil kira tempat duduk yang dikhaskan kepada para atlet, peserta yang terlibat dalam mengadakan persembahan dan juga susun atur keperluan pentas dan sebagainya,” katanya ditemui selepas Majlis Penyampaian Anugerah Mini Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (ICC) MTCP 2024 di sini, hari ini.
7,500 tiket habis diagihkan pada hari pertama, hari ini. Pengagihan tiket akan dilakukan lagi pada esok.
Sehubungan itu, Abdul Karim menyarankan mereka yang tidak berpeluang memperoleh tiket tersebut, agar menyaksikan siaran langsung di televisyen. TVS akan menyiarkan siaran langsung upacara tersebut.
“Saya sudah mengumumkan pada dua hari yang lalu, bahawa apa-apa acara yang berlangsung di dalam stadium, semuanya akan disiarkan secara langsung,” katanya.
Sebelum ini, Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya mengagihkan tiket masuk pada 12 dan 13 Ogos.
Upacara perasmian temasya SUKMA Sarawak 2024 pada 17 Ogos ini di Stadium Sarawak akan memaparkan keunikan budaya dan identiti Bumi Kenyalang yang beraneka ragam.
SUKMA Sarawak 2024 akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos 2024 melibatkan sembilan bahagian iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri serta mempertandingkan 37 jenis sukan.