GEORGE TOWN, 12 Ogos: Seorang penunggang motosikal terkorban selepas gagal mengelak sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang memasuki lorong kecemasan di Kilometer 7.4 Jambatan Pulau Pinang arah pulau menghala Seberang Perai dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 38 tahun maut di tempat kejadian disyaki akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner (ACP) Razlam Ab Hamid berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku apabila pemandu MPV jenis Perodua Alza mengambil keputusan untuk berhenti di lorong kecemasa bagi menukar pemandu.
Katanya, mangsa dikatakan dalam perjalanan ke Butterworth, manakala Perodua Alza dipandu lelaki berusia 22 tahun dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
“Pemandu MPV tersebut tiba-tiba (menukar lorong) memasuki lorong kecemasan dan menyebabkan pelanggaran dengan motosikal sehingga mangsa terjatuh.
“Impak kemalangan itu menyebabkan penunggang cedera parah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, pemandu MPV berkenaan ditahan bagi siasatan lanjut namun dibebaskan dengan jaminan selepas siasatan selesai.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, satu ramakan video dari kamera papan pemuka yang tular di media sosial memaparkan penunggang motosikal dari arah belakang tidak sempat mengelak Perodua Alza yang hendak berhenti di lorong kecemasan Jambatan Pulau Pinang.
Motosikal tersebut bergesel di sebelah kiri MPV berwarna putih itu sebelum penunggangnya tercampak daripada motosikal. – TVS