KUCHING, 12 Ogos: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang meneroka peluang pelaburan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di Sarawak.
Ketua pegawai eksekutifnya Ahmad Zulqarnain Onn berkata, Sarawak yang kini muncul sebagai pusat ekonomi hijau di Asia Tenggara menjanjikan landskap menarik bagi institusi keselamatan sosial berkenaan untuk mengembangkan portfolio pelaburannya.
“Menerusi kunjungan hormat bertemu Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tadi, KWSP belajar mengenai pelaburan di sini.
“(Sebenarnya) banyak destinasi yang KWSP membuat penyelidikan (namun) di Sarawak (menarik) kerana berlaku perubahan positif terutama dalam sektor tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai delegasi KWSP bertemu Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Mengulas mengenai kepentingan institusi itu melakukan pelaburan, Ahmad Zulqarnain berkata kepentingan 16 juta pencarum merupakan antara perkara yang perlu diberi perhatian.
“(Sehubungan itu) KWSP akan mencari pelaburan bernas yang akan mendapat pulangan yang mampan untuk ahli-ahli,” katanya.
Berkenaan dengan kerjasama dengan Kerajaan Sarawak, Ahmad Zulqarnain berkata, pihaknya maklum Sarawak menjadi pusat untuk ekonomi hijau termasuk sektor hidro, solar dan solar terapung yang memerlukan pelaburan yang tinggi.
“Oleh itu KWSP (sedia) menghulur tangan bagaimana kami boleh turut serta dalam pelaburan baharu di Sarawak.
“Manfaat (pelaburan) kepada ahli-ahli kami akan positif sekiranya pulangannya juga lumayan,”ujarnya.-TVS