MUKAH, 12 Ogos : Skuad bola sepak lelaki Sarawak memulakan kempen Sukma XXI 2024 dengan langkah kiri selepas tewas 1-0 kepada Perak dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D di Padang Mesra MDDM di sini, hari ini.
Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil muncul wira Perak dengan menjaringkan gol tunggal melalui sepakan penalti pada minit ke-37.
Sepanjang perlawanan, kedua-dua pasukan menunjukkan aksi seimbang namun anak buah Awangku Shahbudin Pengeran Abu Bakar gagal memanfaatkan peluang terhidang untuk menjaringkan gol.
“Kami mempunyai beberapa peluang berharga tetapi gagal menukarkannya kepada jaringan. Saya percaya, jika kami berjaya memanfaatkan peluang tersebut, keputusan mungkin berbeza,” kata Awangku Shahbudin selepas perlawanan.
Beliau memuji semangat juang ditunjukkan pemainnya meskipun berdepan Perak yang dibarisi pemain berpengalaman beraksi di pentas Piala Presiden 2024.
Menurut Awangku Shahbudin, kesebelasan utama yang diturunkan berjaya memberikan tekanan kepada lawan dan menunjukkan prestasi baik walaupun keputusan tidak memihak kepada pasukannya. – TVS