BINTULU, 12 Ogos: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming menyeru penduduk sekitar terutamanya golongan belia untuk turun memenuhkan venue bagi memberi sokongan padu kepada pasukan Muay Thai Sarawak yang bertanding di sini.
Johnny berkata, beliau juga berharap agar media dapat memberikan liputan meluas kepada acara Muay Thai yang sangat diminati di Saeawak.
“Sukan ini sangat dekat di hati rakyat Sarawak. Saya berharap semua rakyat Bintulu khususnya kawasan Tanjong Batu, Bintulu akan datang untuk melihat tujuan acara ini dan bagaimana ia dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir majlis makan malam bersama pasukan Muay Thai Sarawak di sini malam tadi.
Selain Muay Thai, Bintulu juga akan menjadi venue bagi acara bola sepak dan sepak takraw pada SUKMA Sarawak kali ini.
Sementara itu Ketua Jurulatih Muay Thai Sarawak, Muhammad Azan Mohd Nadzri yakin pasukannya mampu mengatasi sasaran dua pingat emas yang ditetapkan.
Keyakinan itu jelas beliau berdasarkan prestasi semasa atlet dalam beberapa kejohanan termasuk di Thailand baru-baru ini.
“Ada atlet kita yang berjaya meraih tali pinggang kejuaraan.
“Sebelum ini kita sasarkan dua pingat emas tapi saya yakin Sarawak boleh memberi lebih,” katanya.
Selain prestasi baik di Thailand baru – baru ini, Muhammad Azan berkata ada juga atlet Sarawak yang muncul juara peringkat kebangsaan baru – baru ini.
“Jadi dengan pencapaian berkenaan, saya yakin Sarawak dapat atasi sasaran ditetapkan dan kita akan cuba sebaik mungkin, insya-Allah,” katanya. -TVS.