IPOH, 12 Ogos: Polis menahan 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tekong yang berada di dalam sebuah bot yang disyaki hanyut sejak lapan hari lalu di perairan Manjung pada kedudukan 9.8 batu nautika dari Tanjung Hantu, Segari dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner (ACP) Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kampung Acheh, Sitiawan kira-kira pukul 8.34 malam memaklumkan bot kayu jenis pom-pom berkenaan telah ditahan selepas didapati dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, bot terbabit dipercayai membawa warga asing dari Indonesia melalui jalan yang tidak diwartakan.
“Pihak polis marin yang membuat pemeriksaan menahan seorang tekong bot bersama 24 lelaki dewasa dan lima perempuan warga Indonesia.
“Mereka disyaki melakukan kesalahan memasuki negara ini tanpa sebarang pas perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau, siasatan lanjut mendapati, kesemua tangkapan tersebut sebelum itu telah berkumpul di satu kawasan dipercayai sekitar Sabak Bernam, Selangor sebelum menaiki bot terbabit pada 3 Ogos lalu.
“Bot itu telah mengalami kerosakan sehingga menyebabkan ia hanyut terumbang ambing selama kira-kira lapan hari sebelum dikesan polis marin,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran(ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959. – TVS