Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Turkiye pada Sabtu telah memulihkan akses kepada platform media sosial popular Instagram selepas lebih seminggu dengan menyatakan bahawa syarikat induknya yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Meta menerima syarat Ankara mengenai pemadaman kandungan. Foto AFP

Turkiye tarik balik larangan akses kepada Instagram

ByBernama

ISTANBUL, 11 Ogos: Turkiye pada Sabtu telah memulihkan akses kepada platform media sosial popular Instagram selepas lebih seminggu dengan menyatakan bahawa syarikat induknya yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Meta menerima syarat Ankara mengenai pemadaman kandungan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Larangan akses ke atas Instagram telah ditarik balik,” tulis Menteri Pengangkutan dan Infrastruktur Turkiye, Abdulkadir Uraloglu di platform media sosial X.

Uraloglu dalam hantaran terdahulu di platform sama memaklumkan Meta bersetuju dengan peraturan kerajaan Turkiye mengenai pemadaman kandungan yang dianggap jenayah oleh Ankara.

Bagaimanapun, tiada reaksi segera daripada Meta.

Menurut menteri itu, Meta juga kini berkongsi “sensitiviti” kerajaan Turkiye mengenai pemadaman kandungan yang berkaitan dengan kumpulan yang dianggap “pengganas” oleh Ankara seperti Parti Pekerja Kurdistan yang diharamkan.

Minggu lepas, Uraloglu berkata Meta gagal mematuhi peraturan mengenai pemadaman kandungan yang merupakan jenayah di Turkiye seperti penderaan seksual, menggalakkan perjudian, atau menghina bapa pengasas republik itu, Mustafa Kemal Ataturk, menurut agensi berita Anadolu.

Larangan itu dikenakan selepas Pengarah Komunikasi Turkiye Fahrettin Altun menuduh Instagram menyekat ucapan takziah untuk Ismail Haniyeh, pemimpin kumpulan Hamas yang terbunuh di Iran.

Turkiye telah mengisytiharkan hari berkabung di negara itu susulan pemergian Haniyeh. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan