PARIS, 11 Ogos: Petinju Taiwan, Lin Yu-ting memenangi emas tinju kategori featherweight wanita Olimpik selepas menewaskan Julia Szeremeta dari Poland di Roland Garros.
Ia adalah emas kedua Taiwan di Paris 2024 dan Yu-ting meraikan kemenangannya dengan tunduk hormat di keempat-empat penjuru gelanggang dan kemudian berlutut dan menumbuk kanvas.
“Perasaan yang luar biasa. Saya mahu berterima kasih kepada mereka yang menyokong saya, pasukan saya dan semua di Taiwan. Mereka memberikan saya kekuatan,” kata Yu-ting, 28.
Yu-ting dan seorang lagi petinju, Imane Khelif dari Algeria menjadi topik hangat di Olimpik Paris susulan kekeliruan berkenaan jantina mereka.
Semalam, Khelif menewaskan Yang Liu dari China untuk memenangi emas kategori welterweight.
Khelif menjadi wanita Algeria pertama memenangi gelaran tinju Olimpik dan petinju pertama negaranya meraih emas sejak Hocine Soltani di Atlanta 1996.-TVS